US Dakwa Khamenei Terbunuh, Asia Barat Bergolak

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terkorban susulan serangan besar-besaran dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat yang didakwa bertujuan menjatuhkan Republik Islam itu.

Trump menerusi platform Truth Social menyifatkan Khamenei sebagai “antara individu paling jahat dalam sejarah” dan mendakwa beliau telah mati.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut memberi bayangan bahawa terdapat “banyak petunjuk” Khamenei tidak lagi hidup, sambil menggesa rakyat Iran bangkit menjatuhkan rejim.

Bagaimanapun, kenyataan itu bercanggah dengan pendirian pegawai Iran.

Menteri Luar Abbas Araghchi memaklumkan setakat pengetahuannya, Khamenei dan pegawai kanan lain masih hidup, manakala jurucakap Kementerian Luar, Esmail Baqaei, enggan mengesahkan dakwaan berkenaan.

Serangan udara yang disifatkan sebagai antara terbesar dalam sejarah Tentera Udara Israel itu mencetuskan tindak balas pantas Tehran.

Iran melancarkan bedilan peluru berpandu ke beberapa lokasi di Asia Barat, termasuk Israel dan negara Teluk, mengakibatkan korban jiwa serta kerosakan harta benda.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran melaporkan sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dan lebih 700 cedera, dengan 24 daripada 31 wilayah terjejas.

Badan kehakiman Iran turut mendakwa sebuah sekolah di selatan negara itu terkena serangan, mengorbankan lebih 100 orang, namun angka sebenar belum dapat disahkan.

Di Israel, penduduk berlindung di tempat perlindungan ketika siren amaran dan letupan kedengaran di beberapa bandar. Emiriah Arab Bersatu pula melaporkan seorang awam terbunuh akibat serangan peluru berpandu.

Ketegangan turut merebak ke laluan perairan strategik apabila Kor Pengawal Revolusi Iran memaklumkan Selat Hormuz ditutup kepada kapal-kapal, sementara beberapa negara termasuk Iran, Iraq, Kuwait, Syria, Emiriah Arab Bersatu dan Israel menutup sebahagian ruang udara masing-masing.

Konflik terbaharu ini berlaku selepas kebuntuan rundingan antara Washington dan Tehran berhubung program nuklear Iran.

Trump sebelum ini menggesa rakyat Iran bangkit mengambil alih pemerintahan, dalam tindakan ketenteraan AS berskala besar pertama yang secara terbuka menyasarkan perubahan rejim sejak pencerobohan Iraq pada 2003.

Netanyahu memberi amaran ribuan lagi sasaran akan diserang dalam beberapa hari akan datang, manakala pegawai keselamatan Iran berikrar melakukan pembalasan lebih hebat menandakan pertempuran ini berpotensi berlanjutan. – Agensi

BBerkaitan

Latest articles