“Saya Tak Ambil Sesen Pun” – Fathul Bari Jelas Isu Saman RM500,000, Tegas Bukan Libat Wang Jemaah

KANGAR: Ketua UMNO Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jaya menegaskan beliau tidak menerima walau satu sen daripada wang RM500,000 yang menjadi pertikaian dalam kes saman melibatkan dua syarikat pelancongan.

Beliau menjelaskan, tindakan undang-undang oleh KRS Travel Sdn Bhd terhadap Rehla Travel Services Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah isu komersial antara syarikat dalam rantaian pembelian tiket, bukan melibatkan wang jemaah haji atau umrah.

Menurutnya, tiada jemaah yang membuat tuntutan terhadap syarikat atau dirinya secara peribadi, malah tiada dana digunakan untuk kepentingan sendiri atau berlaku pengabaian kebajikan jemaah.

Fathul Bari yang merupakan pengarah dan pemegang saham minoriti Rehla Travel berkata, krisis itu berpunca daripada pembatalan penerbangan umrah ketika pandemik Covid-19.

Rehla sebelum itu menuntut pemulangan RM1.8 juta daripada Amal, anak syarikat Malaysia Airlines yang mengendalikan penerbangan khas umrah dan haji, namun hanya menerima kira-kira RM1.3 juta, menyebabkan kekurangan hampir RM500,000.

Katanya, perbezaan pendirian berhubung baki bayaran yang tidak dipulangkan itulah yang akhirnya membawa kepada saman oleh KRS.

Beliau menegaskan segala keputusan pembayaran dibuat pihak pengurusan syarikat berdasarkan kedudukan kewangan semasa, dan wang yang diterima telah dipulangkan kepada pelabur serta digunakan untuk menjelaskan tuntutan syarikat lain.

Pada Jumaat lalu, mahkamah menolak rayuan beliau bersama dua lagi pengarah Rehla Travel untuk mengetepikan keputusan terdahulu yang mendapati mereka bertanggungjawab terhadap bayaran hampir RM500,000 susulan pembatalan tiket akibat pandemik.

Bagaimanapun, Fathul Bari memaklumkan kes berkenaan kini dalam proses rayuan dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan, sambil berharap masyarakat memahami ia sekadar pertikaian korporat dalam situasi luar jangka, bukan melibatkan salah guna wang peribadi.

BBerkaitan

Latest articles