Hina al-Quran Di Media Sosial, Pelajar Lelaki Dipanggil MCMC

KUANTAN: Tindakan biadab memuat naik gambar memijak al-Quran di media sosial membawa padah apabila seorang penuntut lelaki dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam.

Rakaman percakapan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi melengkapkan siasatan berhubung kandungan yang tular di platform Threads menggunakan nama akaun “ryandaselva”.

Menurut MCMC, siasatan dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC memaklumkan, kandungan berkenaan mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam dan berpotensi menimbulkan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat.

Tegasnya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform digital sehingga menyentuh sensitiviti agama dan keamanan awam.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar lebih berhemah ketika menggunakan media sosial serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menyentuh isu keagamaan atau menjejaskan perpaduan negara.

BBerkaitan

Latest articles