KAJANG: Isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kini berada di peringkat pertimbangan serius kerajaan apabila cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Kajang.
Menurut beliau, perbincangan telah diadakan dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memperincikan keputusan kerajaan.
“Kita sudah bincang tadi… nanti akan ada kenyataan,” katanya ringkas.
Cadangan RCI itu timbul susulan tekanan berterusan DAP yang mahu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan terhadap Azam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini menyatakan Kabinet telah bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu pemilikan saham melibatkan Azam, namun beliau berpandangan langkah tersebut belum memadai.
Malah, beliau menegaskan dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam SPRM adalah isu yang lebih besar dan memerlukan penelitian lebih mendalam berbanding kontroversi pemilikan saham semata-mata.
Isu berkenaan kembali hangat selepas laporan oleh Bloomberg mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Azam tampil menafikan sebarang salah laku dan menegaskan pegangan sahamnya yang dianggarkan bernilai RM800,000 dibuat secara telus serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.










