Polis Kedah Tahan 7 Individu Termasuk 2 Individu Punyai Kesan Residu Tembakan Dalam Kes Tembak Komander AKPS bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR : Polis Kedah menahan tujuh individu termasuk seorang wanita warga Thailand bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ICQS Bukit Kayu Hitam dalam kejadian awal pagi 25 Februari lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang memandu bersendirian kenderaan jenis Proton X70 menuju ke sebuah masjid di Bukit Kayu Hitam terdengar bunyi tembakan dari arah belakang kenderaannya.

“Siasatan awal mendapati terdapat dua kesan tembakan pada bahagian pintu belakang kenderaan mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis ICQS Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah melancarkan empat serbuan dan berjaya menahan enam lelaki tempatan serta seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi positif methamphetamine.

“Semakan rekod jenayah mendapati empat daripada tangkapan mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kastam 1967, POCA dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Polis turut mengesan kesan ‘gunshot residue’ (GSR) ke atas dua daripada suspek yang ditahan.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas dua buah motosikal jenis Yamaha dan Honda, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama serta lima set pakaian dipercayai berkaitan kes.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Lima suspek direman bermula 26 Februari hingga 1 Mac manakala seorang lagi direman sehingga 27 Februari. Wanita warga Thailand itu pula direman selama 14 hari sehingga 11 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk menyiasat ketulenan dokumen pengenalan diri.

Datuk Adzli berkata kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 307 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau sehingga 20 tahun jika menyebabkan kecederaan.

Beliau menegaskan polis memandang serius jenayah melibatkan senjata api kerana ia boleh mengancam keselamatan awam dan negara.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba menggugat keselamatan awam. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis menerusi talian 999 atau menghubungi pegawai penyiasat kes,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles