Kerajaan Negeri Pandang Serius Isu Pelajar UMPSA Hina, Pijak al-Quran

KUANTAN: Tindakan seorang pelajar yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW serta memijak al-Quran mengundang kemarahan dan rasa dukacita umat Islam, lebih-lebih lagi apabila insiden itu berlaku dalam bulan Ramadan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan kerajaan negeri memandang serius kejadian membabitkan penuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu.

Menurut beliau, perbuatan berkenaan bukan sahaja mencetuskan rasa kesal, malah menjadi lebih sensitif kerana dilakukan dalam bulan yang penuh keberkatan.

Beliau memberi amaran bahawa sebarang tindakan atau kenyataan menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, sekali gus menghakis keharmonian yang sekian lama terpelihara di negara ini.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pengurusan universiti untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus serta berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Rosdy turut menasihatkan masyarakat, khususnya golongan muda, supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan perkongsian di ruang awam termasuk media sosial agar tidak menimbulkan provokasi atau menggugat kestabilan masyarakat.

Sejak semalam, media sosial kecoh dengan penularan gambar memaparkan kaki seorang lelaki dipercayai memijak al-Quran, selain tangkap layar komen yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Turut tersebar ialah identiti dan gambar suspek yang dipercayai penuntut sebuah universiti awam.

Susulan itu, seorang penuntut lelaki berusia 21 tahun telah direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Kerajaan negeri menyeru semua pihak agar terus memelihara semangat saling menghormati dan menjunjung nilai toleransi demi memastikan keamanan serta perpaduan di Pahang dan seluruh negara kekal utuh.

BBerkaitan

Latest articles