BATU PAHAT: Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki terhadap kakak kandungnya sendiri akhirnya menerima pembalasan apabila Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan serta enam sebatan, hari ini.
Tertuduh berusia 28 tahun yang juga penganggur mengaku bersalah atas tiga pertuduhan sebaik ia dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan kakaknya yang berusia 35 tahun dan merupakan orang kelainan upaya (OKU) di sebuah rumah di Parit Raja sekitar jam 8.41 dan 9.10 malam pada 20 Februari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.
Selain itu, tertuduh turut mengaku menyimpan gambar dan video lucah mangsa dalam telefon bimbitnya, satu kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Fakta kes mendedahkan perbuatannya disedari ahli keluarga lain yang berada di rumah ketika kejadian.
Mangsa yang memerlukan penjagaan khas dan memakai lampin pakai buang itu kemudian menjadi subjek siasatan selepas laporan polis dibuat.
Pemeriksaan ke atas telefon tertuduh menemui bahan lucah yang dirakam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan tiga sebatan bagi setiap dua pertuduhan cabul, manakala 10 bulan penjara untuk kesalahan menyimpan bahan lucah.
Semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 21 Februari lalu, manakala sebatan dilaksanakan secara berasingan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).










