“Saya Minta Maaf…” – Suami Didakwa Bunuh Isteri Hamil Dengan Lesung Batu Menangis Di Mahkamah

KOTA TINGGI: Seorang lelaki etnik Rohingya tidak dapat menahan sebak ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang sedang hamil tujuh bulan, awal bulan ini.

Tertuduh, Rashidullah Mong Fumiyah, 35, didakwa menyebabkan kematian isterinya, Fazanah Eskar, 34, dengan menghentak kepala mangsa menggunakan lesung batu dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Makam pada 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Dalam prosiding sama, lelaki itu turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian bayi cukup sifat dalam kandungan mangsa.

Mahkamah menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia, manakala 18 Mac ditetapkan bagi kehadiran jurubahasa Myanmar.

Terdahulu, mangsa ditemui tidak bernyawa oleh pemilik rumah sewa kira-kira jam 7 pagi, dipercayai dibunuh beberapa jam sebelumnya.

Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian berkait unsur cemburu.

BBerkaitan

Latest articles