KUANTAN: Tindakan biadab memuat naik kandungan menghina agama Islam di media sosial membawa padah apabila seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Pelajar universiti tempatan itu ditahan selepas dipercayai memuat naik hantaran jelik di aplikasi Thread yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Perintah reman terhadapnya berkuat kuasa sehingga 28 Februari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah memaklumkan, suspek hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama bapanya awal pagi tadi.
Kehadiran mereka adalah untuk memohon maaf atas tindakan tersebut serta menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar berkenaan susulan reaksi keras warganet.
Menurut beliau, walaupun suspek tampil membuat permohonan maaf, siasatan tetap diteruskan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, tular satu akaun bernama “Vikneswaran0102” yang memuat naik gambar memijak al-Quran selain mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.
Hantaran itu mengundang kemarahan netizen dan menjadi perbualan hangat di media sosial sejak malam tadi.
Dalam pada itu, Ashari menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau mengambil undang-undang di tangan sendiri kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Beliau menegaskan pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut lunas perundangan.










