Zambry Gesa Semua Pihak Bertenang Susulan Insiden Di UMPSA

KUALA LUMPUR, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir menyeru semua pihak agar bertenang susulan laporan mengenai insiden melibatkan seorang individu yang didakwa memijak al-Quran di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sambil menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata pihak polis telah mengambil tindakan pantas dan kes berkenaan kini dikendalikan mengikut saluran undang-undang.

Beliau menegaskan perkara tersebut dipandang serius, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, dan tindakan tidak beradab seperti itu tidak boleh diterima kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta mencetuskan bahasa kebencian.

Menurutnya, kementerian dan kerajaan tidak akan mengambil mudah isu berkenaan, sambil menekankan kepentingan memastikan keadaan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang boleh mengeruhkan suasana katanya di Sidang Media di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, jelas Zambry lagi, Pihak universiti telah membuat laporan segera kepada polis dan tindakan lanjut sedang diambil. Kita akan mendapatkan laporan lengkap daripada pihak berkuasa terlebih dahulu bagi memastikan fakta sebenar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa maklumat awal yang tular sebelum ini banyak diperoleh daripada media sosial, justeru semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.

Sebelum itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman mengesahkan lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, permohonan reman akan dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Penahanan itu susulan tindakan pemilik akaun di platform Thread yang memuat naik gambar memijak al-Quran, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas dalam kalangan pengguna media sosial sejak malam tadi.

BBerkaitan

Latest articles