KUALA LUMPUR: Desakan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berundur semakin hangat apabila Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memberi kata dua di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan, kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas berhubung isu pemilikan 17.7 juta saham akan mengundang risiko besar termasuk kemungkinan ahli-ahli Parlimen DAP menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Khoo menyuarakan pendirian keras bahawa Azam tidak lagi wajar memegang jawatan tertinggi dalam SPRM.
“Saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas, Azam Baki perlu letak jawatan. Dia perlu pergi atau kita pergi. Itu adalah pesanan saya.
“Ini kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang, pengundi akan hukum kita.
“Saya harap masa bahasa saya tamat, tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang,” katanya pada sesi perbahasan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kontroversi tercetus selepas laporan media antarabangsa Bloomberg mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan dokumen pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Lebih menghangatkan keadaan, laporan itu turut melabelkan SPRM sebagai “mafia korporat” susulan dakwaan bersekongkol dengan unit siasatan badan berkenaan.
Pendedahan tersebut sekali lagi mencetuskan persoalan integriti terhadap institusi pencegahan rasuah negara itu.
Khoo menegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas semata-mata tidak memadai untuk meredakan keraguan awam.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kedua-dua dakwaan isu pemilikan saham serta tuduhan “mafia korporat” demi memulihkan kredibiliti SPRM.
Beliau turut mengaitkan kontroversi tersebut dengan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah yang kini berada di tangga ke-54 selepas meningkat tiga anak tangga, namun bimbang reputasi negara akan merosot semula sekiranya isu ini berlarutan.
Khoo turut mengingatkan bahawa kontroversi pemilikan saham bukan perkara baharu. Pada 2022, Azam pernah dikaitkan dengan dakwaan memiliki saham melebihi had yang dibenarkan.
Katanya, pendedahan terbaharu ini merupakan kali kedua isu seumpama itu dibangkitkan, justeru tidak boleh lagi dipandang ringan.










