KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan masih terlalu awal untuk membuat penilaian semula terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan pelaksanaan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) sebagai tidak sah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun keputusan mahkamah tertinggi AS itu dianggap serius, perjanjian Malaysia-AS berkenaan masih belum berkuat kuasa dan belum melalui sebarang proses ratifikasi.
Menurut beliau, setakat ini Washington juga belum menetapkan tarikh bagi tujuan ratifikasi, menjadikan kedudukan perjanjian tersebut masih tergantung.
“Semua negara sedang memantau rapat perkembangan ini. Kita juga berbuat demikian, tetapi tidak wajar bertindak tergesa-gesa,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Isu berkenaan timbul selepas Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa pengenaan tarif timbal balas di bawah IEEPA oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah dari sudut undang-undang.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan masih terdapat pelbagai kemungkinan termasuk tindakan lanjut oleh Presiden AS, sama ada menggunakan peruntukan lain dalam IEEPA atau melalui sokongan Kongres.
Beliau turut memaklumkan bahawa perintah eksekutif sedia ada yang menurunkan kadar tarif daripada 19 peratus kepada 15 peratus hanya berkuat kuasa selama 150 hari iaitu satu tempoh sementara yang tetap perlu diperhatikan dengan teliti.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kepentingan ekonomi negara menjadi pertimbangan utama kerajaan dalam menangani isu ini.
Eksport Malaysia ke AS mencecah RM233.1 bilion, manakala jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai RM367.5 bilion, satu angka yang menurutnya terlalu besar untuk dipertaruhkan dengan keputusan tergesa-gesa.
Beliau menambah, langkah tarif terdahulu lebih banyak melibatkan syarikat AS yang melabur di Malaysia, bukannya syarikat tempatan secara langsung.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, kerajaan bersetuju bahawa pemantauan rapi perlu diteruskan bagi menilai kemungkinan tindakan susulan oleh pentadbiran AS serta pendirian Kongres terhadap keputusan mahkamah tersebut.
“Perintah eksekutif berkaitan tarif global baharu ini perlu dipantau dari sudut kepentingan ekonomi Malaysia,” tegasnya.










