KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun bakal memberi kesan bukan sahaja kepada individu yang memegang jawatan itu semasa, malah turut melibatkan bekas perdana menteri sekiranya diluluskan Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan Perlembagaan itu dirangka dengan mengambil kira jumlah keseluruhan tempoh seseorang individu pernah memegang jawatan berkenaan.
Menurut beliau, mana-mana individu yang telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Perdana Menteri tidak lagi layak dilantik semula ke jawatan tersebut.
“Mungkin ada individu yang terus tidak boleh kerana sudah melepasi tempoh 10 tahun. Itulah inti pati pindaan ini,” katanya kepada media selepas sesi taklimat khas kepada Ahli Parlimen di bangunan Parlimen.
Sebagai contoh, Azalina memaklumkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; serta Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih berpeluang memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya dipilih dan belum mencapai had 10 tahun perkhidmatan.
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026 itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina turut menjelaskan bahawa pengehadan tersebut khusus melibatkan jawatan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan, manakala tempoh perkhidmatan Menteri Besar dan Ketua Menteri tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.










