KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank, lebih sedekad lalu.
Tertuduh, Ranjeet Singh Sidhu, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memberikan suapan kepada bekas Presiden dan Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Mohd Zafer Mohd Hashim sebagai dorongan membantu meluluskan pinjaman RM400 juta kepada V-Telecoms Berhad pada 2012.
Pinjaman itu dikatakan bagi membiayai pembangunan rangkaian pesisir termasuk sistem gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Ranjeet turut berdepan satu lagi pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu Joint Completion Guarantee antara V Telecoms Berhad dan Huawei Technologies Co Ltd bertarikh 21 Jun 2012 bagi memenuhi syarat kelulusan pinjaman tersebut.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin. Beliau turut diarahkan menyerahkan pasport serta melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 30 Mac depan.
Terdahulu, tertuduh ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.










