KUALA LUMPUR: Peningkatan kes batuk kering atau tibi yang dilaporkan kebelakangan ini tidak seharusnya mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
Laman kesihatan Public Health Malaysia (PHM) menegaskan penyakit itu tidak menular semudah selesema biasa.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook, PHM menjelaskan jangkitan berlaku melalui udara apabila pesakit tibi paru-paru batuk, bersin atau bercakap dengan kuat, sekali gus menyebabkan kuman halus terampai dan berkumpul di ruang tertutup yang kurang pengudaraan.
Risiko menjadi lebih tinggi sekiranya seseorang berada lama dan berulang kali dalam bilik sempit tanpa aliran udara baik, bukannya melalui sentuhan, makanan bazar atau sekadar berselisih lalu.
Sehubungan itu, PHM menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melampau seperti membatalkan aktiviti harian atau mengurung diri di rumah.
Apa yang lebih penting ialah mengambil langkah pencegahan tepat seperti memastikan ruang kerja mempunyai pengudaraan baik, membuka tingkap jika boleh, mengelakkan berhimpit terlalu lama dalam ruang kecil serta mengamalkan etika batuk.
Individu yang mengalami batuk melebihi dua minggu, demam pada waktu petang, susut berat badan, berpeluh malam atau cepat letih disaran segera mendapatkan pemeriksaan dan menjalani X-ray kerana tibi boleh dirawat, dan risiko jangkitan akan menurun dengan ketara selepas rawatan dimulakan.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 3,161 kes tibi direkodkan di seluruh negara dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 755 kes, diikuti Selangor (596) dan Sarawak (332).
KKM turut menegaskan bahawa bulan Ramadan bukan faktor penyumbang kepada penularan penyakit berkenaan.
Pendekatan terbaik, tegas PHM, ialah berdepan situasi ini dengan ilmu dan langkah pencegahan yang betul, bukan dengan ketakutan.










