“Jangan Fitnah ATM” – Ibu Indiran Rayu Henti Spekulasi Kematian

KUALA LUMPUR: Ibu kepada mendiang anggota tentera, Truper K. Indiran, tampil merayu orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi dan andaian tidak berasas berhubung kematian anaknya yang dikhuatiri boleh mencemarkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

S. Usha, 52, menegaskan hasil bedah siasat mendapati tiada unsur buli, pukul atau penderaan fizikal terhadap tubuh anak sulungnya itu.

Malah, beliau menafikan pernah mendakwa Indiran dibuli sepanjang menjalani latihan.

Menurutnya, ketika menerima panggilan memaklumkan anaknya berada dalam keadaan kritikal, pelbagai kemungkinan buruk bermain di fikiran.

Namun selepas keputusan bedah siasat diperoleh, beliau dimaklumkan fizikal Indiran berada dalam keadaan normal tanpa kecederaan luaran.

“Jangan cemarkan nama ATM dengan dakwaan tidak benar. Kita tunggu sahaja hasil siasatan penuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nibong, awal pagi tadi.

Usha memaklumkan siasatan dalaman termasuk beberapa ujian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, yang dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan.

Katanya, Indiran tidak mempunyai sebarang penyakit ketika menyertai perkhidmatan dan sentiasa menghubunginya setiap hari untuk berkongsi rutin di kem.

Beliau turut menjelaskan latihan lasak dalam pasukan beruniform adalah perkara biasa dan tidak wajar disamakan dengan buli.

Malah, mendiang bapanya, Mejar C. Kayamboo yang pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), juga melalui latihan mencabar ketika dalam perkhidmatan.

“Latihan memang keras untuk uji ketahanan mental dan fizikal, tetapi itu bukan buli atau dipukul sehingga cedera,” katanya lagi.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga apabila kenderaan ATM yang membawa jenazah Indiran tiba kira-kira jam 1.45 pagi bagi memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan India Batu Lanchang, petang ini.

Untuk rekod, Indiran, 22, sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang sebelum ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Februari lalu.

Beliau dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya ketika menerima rawatan.

Pemergian Indiran mengimbau kembali tragedi 2016 apabila bapanya terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T milik TUDM berhampiran Butterworth, Pulau Pinang.

Meski kehilangan dua insan tersayang dalam perkhidmatan, Usha menegaskan beliau tidak akan menghalang anak-anaknya yang lain sekiranya mahu menyertai pasukan beruniform pada masa depan.

BBerkaitan

Latest articles