Jawatan PM: Tempoh 10 Tahun Bermula Dengan Saya, Kata Anwar

BANTING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal akan bermula dengan beliau sendiri.

Menurutnya, langkah itu bukan digubal untuk pemimpin akan datang semata-mata, sebaliknya perlu terpakai kepada pentadbiran semasa bagi membuktikan komitmen terhadap reformasi institusi.

“Jangan anggap saya buat undang-undang untuk orang lain. Ia bermula dengan saya dan mesti terpakai kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan bacaan kali kedua pula ditetapkan pada 3 Mac, dengan Anwar sendiri dijangka membentangkan RUU berkenaan.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa pindaan tersebut akan dipercepatkan prosesnya dan berpotensi diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang sekiranya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Anwar berpandangan tempoh maksimum 10 tahun sudah mencukupi bagi seseorang Perdana Menteri melaksanakan tanggungjawab kepada negara dengan sebaiknya.

Katanya, pemimpin yang benar-benar ikhlas berkhidmat tidak memerlukan tempoh terlalu panjang untuk mencorak pentadbiran.

“Selepas tempoh itu, wajar beri ruang kepada rakan-rakan lain untuk menyambung khidmat,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles