KUALA LUMPUR, — Pempengaruh media sosial, Caprice hari ini menjelaskan pendiriannya berhubung pertikaian antara beliau dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, sambil menafikan dakwaan bahawa beliau membuat tuduhan rasuah berjumlah RM2.5 bilion terhadap pemimpin berkenaan.
Menurut Caprice, kandungan video yang dimuat naik sebelum ini hanya bertujuan membangkitkan persoalan berkaitan kemungkinan konflik kepentingan susulan pendedahan mengenai hubungan perniagaan lampau antara Rafizi dan seorang individu yang dikaitkan dengan projek tertentu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat firma guaman Lee & Poh Partnership di Bangsar South, di sini, hari ini.
Caprice menegaskan bahawa soalan yang dibangkitkan adalah bersifat umum, relevan dengan kepentingan awam serta tidak mengandungi unsur fitnah.
“Saya hanya bertanya sama ada wujud konflik kepentingan, itu sahaja. Tiada sebutan mengenai rasuah atau jumlah RM2.5 bilion dalam mana-mana video saya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu notis tuntutan telah dihantar kepada Rafizi melalui e-mel kira-kira jam 2.30 petang tadi, yang antara lain menuntut penarikan balik beberapa hantaran media sosial, pemadaman kandungan berkaitan serta permohonan maaf secara terbuka.
Menurutnya, tindakan undang-undang akan dipertimbangkan sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Caprice menyeru agar semua pihak menyelesaikan isu berkenaan secara baik, khususnya menjelang bulan Ramadan, serta berharap polemik tersebut tidak dipanjangkan ke arah pertikaian politik.
Beliau turut meminta agar namanya tidak dikaitkan dengan persaingan politik semasa yang melibatkan pelbagai parti.
“Saya tidak mahu diheret dalam pertikaian politik. Banyak perkara sedang berlaku dalam arena politik ketika ini, jadi jangan jadikan saya bahan politik,” katanya.
Caprice berkata beliau dan Rafizi berkongsi pendekatan yang sama dalam mengemukakan soalan serta ulasan terhadap isu semasa.
“Rafizi suka bertanya dan mengulas, saya juga begitu. Tiada bezanya dengan mana-mana saluran televisyen atau penulis blog. Kami hanya menjalankan peranan untuk bertanya dan melaporkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa niatnya tidak pernah untuk menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya sekadar mengemukakan persoalan yang disifatkan relevan dan adil kepada kepentingan awam.
“Kita hanya bertanya. Jika orang lain boleh bertanya, mengapa saya tidak boleh bertanya mengenai hubungan yang pernah wujud,” katanya.










