BANTING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap dakwaan salah guna kuasa atau penyelewengan dana kerajaan, termasuk yang membabitkan bekas menteri kanan, wajib disiasat secara telus dan terbuka tanpa sebarang prejudis.
Menurut beliau, tindakan menjatuhkan hukuman di mahkamah awam sebelum siasatan lengkap dijalankan bukan sahaja tidak adil, malah boleh menjejaskan prinsip keadilan yang sepatutnya ditegakkan.
“Kalau ada tuduhan, siasat. Jangan pilih kasih. Sesiapa pun, sama ada dalam kerajaan atau di luar, mesti melalui proses siasatan yang adil dan telus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, hari ini.
Beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak terburu-buru membuat kesimpulan, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan.
“Dalam bulan Ramadan ini, elakkan budaya tuduh-menuduh. Beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu. Sebelum ada keputusan dan pendakwaan, jangan hukum,” tegasnya.
Kenyataan itu hadir susulan pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyatakan kesediaannya untuk disiasat berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan dua dasar utama ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi.
Antara yang dipersoalkan ialah pelaksanaan Program Visi Silikon yang melibatkan kerjasama dengan ARM, serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) berkaitan pelaburan industri hijau.
Mengulas lanjut, Anwar melahirkan rasa kesal terhadap sikap segelintir pihak yang gemar menghukum dan menyebarkan tuduhan sebelum fakta sebenar diperoleh.
“Ini antara masalah dalam negara kita. Baru dengar dakwaan, terus kecam dan hukum. Sedangkan belum tentu benar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat bukti kukuh, namun proses undang-undang perlu dihormati.
“Kalau ada bukti, kita siasat dengan baik dan telus. Itu yang penting supaya negara ini diurus secara teratur dan berintegriti,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat agar memanfaatkan Ramadan dengan memperkukuh ibadah, mempererat silaturahim serta menjauhi budaya fitnah dan spekulasi.










