12 Julai Penentu DAP Terus Kekal Bersama Kerajaan Atau Sebaliknya

KUALA LUMPUR: Masa depan pemimpin DAP dalam kerajaan bakal ditentukan oleh lebih 4,000 perwakilan parti pada 12 Julai ini dalam satu kongres khas yang disifatkan sebagai “referendum” dalaman.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menegaskan perwakilan akan membuat keputusan sama ada pemimpin parti yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri serta jawatan rasmi lain perlu meletak jawatan atau kekal dalam pentadbiran.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa 40 Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Pilihan Raya Umum akan datang walau apa pun keputusan kongres.

“Kita tidak boleh mentadbir tanpa menanggung beban tadbir urus. Jika kekal, semua mesti pikul tanggungjawab bersama. Jika keluar, keluar sepenuhnya. Tidak boleh ada kekaburan,” tegasnya.

Ini merupakan kali pertama keputusan sepenting ini ditentukan oleh perwakilan tertinggi parti, bukan hanya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Langkah itu dibuat susulan prestasi buruk DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, apabila parti tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk enam kerusi yang sebelum ini dimenangi pada 2020.

Loke menyifatkan keputusan itu sebagai “mesej jelas” wujudnya krisis keyakinan terhadap parti.

Loke turut menegaskan langkah tersebut bukan ancaman terhadap kerajaan perpaduan dan bukan usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada.

“Ini bukan ancaman. Kami tidak akan tarik sokongan atau sertai mana-mana ‘kerajaan pintu belakang’. Fokus kami ialah kestabilan,” katanya.

Menurut beliau, kongres khas itu akan menentukan hala tuju DAP untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, sama ada terus memikul tanggungjawab dalam kerajaan atau berundur daripada barisan hadapan pentadbiran.

BBerkaitan

Latest articles