Hamzah Bawa 16 MP Sertai ‘Rumah Baharu’ Minggu Depan?

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan bakal mengumumkan penyertaan ke dalam sebuah parti politik lain minggu depan bersama 16 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan, yang memaklumkan beliau sendiri akan turut menyertai ‘rumah baharu’ berkenaan.

“Maklumat yang saya terima, pengumuman itu dijangka dibuat dalam masa terdekat, Insya-Allah minggu depan. Saya juga akan bersama Ahli Parlimen lain menyertai platform baharu itu,” katanya seperti dilaporkan media.

Azahari merupakan antara Ahli Parlimen yang dipecat daripada Bersatu minggu lalu, bersama Hamzah.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa beliau mendapat sokongan 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu susulan pemecatannya oleh lembaga tatatertib.

Dalam Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu, beliau memberi bayangan bahawa semua pilihan terbuka termasuk menubuhkan parti baharu.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Yunus Nurdin, mendedahkan ‘rumah baharu’ yang dimaksudkan bukanlah parti yang akan ditubuhkan dari awal, sebaliknya sebuah parti kecil sedia ada yang bakal diambil alih.

“Beliau sudah beri petunjuk mengenai parti itu tetapi belum umumkan namanya. Pengumuman dijangka dibuat dalam masa terdekat kerana tidak boleh dilengah-lengahkan,” katanya.

Menurut Yunus, strategi Hamzah bukan menyertai parti besar, sebaliknya memilih untuk mengetuai sebuah parti agar dapat mempamerkan keupayaan kepimpinannya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bekas Ketua Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, pula menegaskan beliau akan terus setia bersama Hamzah walau apa jua keputusan yang dibuat.

“Jika benar ada parti baharu atau sebarang pengumuman, biarlah beliau sendiri umumkan. Kami ini pengikut setia,” katanya.

Beliau turut menjangkakan Bersatu akan menerima kesan besar sekiranya pengumuman itu benar-benar berlaku.

“Apabila parti sudah lari daripada prinsip perjuangan asal, pemimpin yang sedar perkara itu sepatutnya bersama Hamzah,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles