KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semakin berterusan apabila seorang lagi pemimpin kanan parti itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, hari ini.
Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Ketua Srikandi BERSATU itu tidak berundur bersendirian, sebaliknya turut disertai 39 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan yang mengambil keputusan sama.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Shahrul Azhar Amir yang turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha BERSATU Bahagian Masjid Tanah selepas satu mesyuarat khas diadakan.
Menurutnya, mesyuarat selama kira-kira dua jam itu dihadiri barisan jawatankuasa bahagian, ketua-ketua sayap serta pimpinan cawangan.
Dalam pertemuan tersebut, Mas Ermieyati memberi penjelasan berhubung perkembangan terkini konflik politik dalam parti.
Katanya, mesyuarat berkenaan secara sebulat suara memutuskan bahawa kepimpinan bahagian hilang kepercayaan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dengan keputusan ini, Jawatankuasa BERSATU Bahagian Masjid Tanah secara rasmi terbubar,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Mas Ermieyati ketika dihubungi turut mengesahkan peletakan jawatan beliau bersama pimpinan bahagian lain.
Gelombang pengunduran itu tidak terhenti di Melaka.
Di Perak, beberapa pimpinan bahagian turut mengumumkan peletakan jawatan susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti.
Antara yang berundur ialah Mohd Amran Ibrahim (Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Malim), Ahmad Man (Ketua Bahagian Bukit Gantang) dan Ismail Ali (Ketua Bahagian Bagan Serai).
Mereka mendakwa keseluruhan jawatankuasa bahagian masing-masing turut mengambil langkah sama.
Di Sarawak, Bahagian Bintulu menjadi yang pertama di negeri itu mengumumkan pengunduran beramai-ramai.
Ketuanya, Duke Janteng, memaklumkan seramai 110 ahli termasuk kepimpinan bahagian, ketua cawangan serta sayap wanita dan pemuda memutuskan hubungan dengan parti.
Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti di bawah Muhyiddin, selain mendakwa perjuangan asal parti semakin tersasar, khususnya dalam membela kepentingan masyarakat pribumi Sarawak.










