Malaysia Kutuk Israel Daftar Tanah Tebing Barat Sebagai ‘Hak Kerajaan’

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam keras terhadap tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa mendaftarkan tanah di Tebing Barat yang diduduki sebagai ‘tanah kerajaan’, satu langkah yang disifatkan sebagai cubaan menghalalkan rampasan wilayah Palestin.

Dalam kenyataan tegas hari ini, Kementerian Luar Malaysia menegaskan tindakan tersebut bukan sahaja meluaskan penempatan haram, malah memperkukuh pendudukan tidak sah Israel ke atas bumi Palestin.

Menurut Wisma Putra, pendaftaran itu bertujuan mengabsahkan penguasaan tanah berkenaan di bawah undang-undang Israel, walhal ia jelas bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

“Tindakan yang belum pernah berlaku sejak 1967 ini merampas tanah Palestin, memperluas aneksasi dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menegaskan bahawa langkah berkenaan melanggar Konvensyen Geneva Keempat serta resolusi penting Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Resolusi 2334 yang menolak penempatan haram Israel di wilayah Palestin.

Menurut kementerian itu lagi, tindakan berterusan Israel bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin, malah merencatkan sebarang usaha ke arah penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap apa yang disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan itu.

Negara-negara dunia diseru menolak langkah tidak sah berkenaan serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya.

“Ia termasuk mempertahankan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan terhadap tanah mereka yang kini diceroboh dan dirampas secara sistematik melalui peluasan penempatan haram dan pendaftaran tanah,” tegas kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, Malaysia menegaskan komitmen berterusan dan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan dan keadilan.

Malaysia kekal menyokong penubuhan sebuah negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan aspirasi rakyat Palestin.

BBerkaitan

Latest articles