PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri Malaysia menegaskan komitmennya untuk membantu seorang rakyat Malaysia, Muhammad Faiq Mohd Jailani yang kini ditahan di Balai Polis Toyama Minami, Jepun.
Menurut kementerian itu, bantuan konsular akan diberikan termasuk memudahcara komunikasi dan memantau kebajikan beliau, tertakluk kepada persetujuan individu berkenaan serta selaras dengan undang-undang tempatan Jepun.
Muhammad Faiq sebelum ini dilaporkan hilang di Jepun sejak 2 Disember 2025.
Sejurus menerima maklumat berhubung kehilangan tersebut, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo segera mengambil langkah mengesan keberadaannya.
Kementerian turut mengesahkan bahawa pihak kedutaan telah berhubung secara langsung dengan Kementerian Luar Negeri Jepun serta agensi penguat kuasa tempatan, malah usaha itu dilakukan sebelum dan selepas laporan media tempatan bertarikh 23 Januari 2026 mengenai status beliau.
Mengulas lanjut, kementerian menjelaskan bahawa Jepun sebagai negara berdaulat berhak melaksanakan undang-undangnya sendiri dalam sempadannya.
Di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963, pemberitahuan kepada kedutaan asing mengenai penahanan seseorang tidak berlaku secara automatik, sebaliknya hanya atas permintaan individu yang ditahan.
Selain itu, pihak berkuasa Jepun terikat dengan Akta Perlindungan Maklumat Peribadi yang mengklasifikasikan status tahanan sebagai maklumat sulit dan tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga, termasuk perwakilan diplomatik, tanpa persetujuan jelas individu terbabit.
Kementerian turut menegaskan bahawa kedutaan tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah negara tuan rumah atau menuntut pembebasan mana-mana tahanan.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Faiq yang pernah dikaitkan sebagai mangsa sindiket pemerdagangan manusia kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan di mahkamah Jepun.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, memaklumkan kes itu menjadi rumit berikutan kekangan bahasa.
Menurutnya, pemuda berasal dari Manir, Terengganu itu tidak fasih berbahasa Jepun, manakala komunikasi turut menjadi cabaran apabila pihak berkuasa dan peguam pembela dilaporkan kurang mahir berbahasa Inggeris.
Wisma Putra dalam pada itu menegaskan akan terus memantau perkembangan kes berkenaan melalui kedutaannya di Tokyo, sambil mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan negara yang dikunjungi.










