SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak, khususnya ahli politik, yang didakwa gemar memainkan sentimen perpecahan sehingga boleh menggugat keharmonian negara.
Baginda menegaskan, perpaduan yang sekian lama dibina hasil toleransi dan kebijaksanaan generasi terdahulu tidak wajar dikorbankan hanya kerana retorik atau kepentingan tertentu.
Menurut baginda, Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama, justeru nilai kesederhanaan, saling menghormati dan semangat kebersamaan perlu terus dipelihara demi memastikan keamanan berkekalan.
“Setiap rakyat perlu menghormati perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu tradisi sendiri dihormati,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di Selangor dan seluruh negara.
Baginda turut menekankan bahawa perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar amalan tradisi, malah mencerminkan kekayaan warisan budaya yang menjadi asas identiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
Titah baginda lagi, kepelbagaian kaum, agama dan budaya merupakan kekuatan utama negara dan harus terus diperkukuh melalui amalan muhibbah, termasuk kunjungan rumah terbuka serta budaya berkongsi rezeki.
Baginda berharap sambutan Tahun Baharu Cina kali ini menjadi pemangkin untuk mempererat perpaduan dan memperkukuhkan semangat hormat-menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.










