UMNO Letak Syarat Bekas Pemimpin Bersatu Tak Boleh Masuk Sesuka Hati

PONTIAN: UMNO menegaskan tidak akan mengambil kesempatan terhadap kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan membuka pintu secara automatik kepada bekas ahli atau pemimpin parti itu untuk menyertai UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, sebarang permohonan menyertai parti itu tetap tertakluk kepada penelitian dan kelulusan MKT, bukannya diterima secara terus.

Menurut beliau, UMNO berpegang kepada prinsip untuk tidak menangguk di air keruh meskipun Bersatu kini dilanda pergolakan serius yang menyaksikan pemecatan beberapa pemimpin kanan.

“UMNO tidak berniat mengambil kesempatan terhadap perpecahan parti lawan. Fokus kita adalah memperkukuh parti melalui kekuatan sendiri, prinsip perjuangan dan sokongan akar umbi,” katanya.

Kenyataan Ahmad itu hadir ketika Bersatu berdepan krisis dalaman besar selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 pemimpin lain dipecat daripada parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad menjelaskan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah menetapkan tiga kerangka utama sebagai panduan politik parti pada masa depan, iaitu konsep Rumah Bangsa, Masyarakat Nasional dan Kolaborasi Agung.

Katanya, ketiga-tiga prinsip tersebut menjadi asas penting dalam menentukan sebarang keputusan strategik termasuk mempertimbangkan penyertaan tokoh politik dari parti lain.

“UMNO bersikap terbuka dan berjiwa besar, namun setiap keputusan mesti dibuat secara berhemah serta mematuhi perlembagaan dan prinsip parti,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan mengalu-alukan mana-mana wakil rakyat Bersatu yang asalnya daripada UMNO untuk kembali ke pangkuan parti, seperti didedahkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi dalam satu taklimat tertutup sebelum ini.

Perkembangan itu mencetuskan spekulasi bahawa UMNO berpotensi menerima semula bekas pemimpinnya, namun pendirian terkini parti itu menunjukkan proses kemasukan tetap dikawal ketat dan tidak dilakukan secara terburu-buru.

BBerkaitan

Latest articles