KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, memberi amaran tegas bahawa tekanan awam terhadap kerajaan dijangka semakin memuncak sekiranya tiada siasatan bebas diwujudkan bagi menyiasat dakwaan yang mengaitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Berucap pada perhimpunan di Dataran Sogo hari ini, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menegaskan, himpunan yang diadakan dalam tempoh singkat itu bertujuan mengukur sentimen rakyat terhadap isu integriti institusi penguatkuasaan negara.
Menurut beliau, langkah seterusnya akan bergantung kepada reaksi kerajaan serta peranan pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Bersih, dalam memastikan tuntutan ketelusan dipenuhi.
Rafizi turut merujuk laporan media antarabangsa yang membangkitkan persoalan mengenai tadbir urus serta dakwaan penyalahgunaan kuasa, yang sebelum ini telah dinafikan oleh Azam.
Azam juga dilaporkan mencabar mana-mana pihak supaya membuat laporan rasmi sekiranya mempunyai bukti.
Bagaimanapun, Rafizi menegaskan bahawa siasatan oleh agensi yang sama boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan sekiranya tidak disertai mekanisme bebas.
“Tuntutan rakyat bukan bersifat peribadi, tetapi mengenai ketelusan sistem dan kepercayaan terhadap institusi,” katanya.
Beliau juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menilai implikasi politik sekiranya isu berkenaan tidak ditangani secara terbuka, sambil memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi institusi.
Selain itu, Rafizi menyeru parti-parti dalam kerajaan perpaduan, termasuk DAP dan Amanah, supaya menyatakan pendirian jelas berhubung keperluan siasatan bebas bagi memastikan integriti institusi negara terus terpelihara.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan telah bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan serta isu berkaitan Azam.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dengan keanggotaan termasuk Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Menurut kenyataan rasmi, jawatankuasa itu akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dan ketelusan terhadap semua pihak yang terlibat.
Rafizi mendakwa pendedahan yang dibuat sebelum ini membayangkan terdapat unsur kongsi gelap yang telah membolosi pentadbiran negara dan mampu mempengaruhi badan penguat kuasa.
Beliau berkata, perkara itu adalah sesuatu yang berbahaya tanpa mengira siapa yang menerajui kerajaan.
“Saya tak peduli kerajaan mana, saya tak peduli siapa Perdana Menteri.
“Tapi kalau ada unsur-unsur jenayah kongsi gelap yang mengawal badan-badan besar, yang boleh mempengaruhi penguat kuasa, masuklah Perdana Menteri macam mana pun, hancur negara ini,” katanya lagi.










