SEPANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menolak keras tuduhan yang mengaitkan agensi itu dengan label ‘mafia korporat’, menyifatkannya sebagai dakwaan liar tanpa bukti sahih.
Menurut beliau, segala tuduhan yang tersebar termasuk menerusi platform media sosial dan video dalam talian tidak disokong fakta kukuh serta bersumberkan maklumat yang diragui.
“Kalau ada bukti, buat laporan kepada pihak berkuasa. Saya tak kisah apa pun video yang nak dibuat. Kalau benar ada jenayah, bawa ke mahkamah,” katanya tegas.
Beliau menambah, dakwaan yang tidak berasaskan maklumat sah tidak akan menjejaskan integriti atau kedudukannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Dalam perkembangan sama, Azam mendedahkan bahawa beliau telah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg susulan laporan yang mengaitkannya dengan pemilikan saham dalam sebuah syarikat kewangan tersenarai.
Menurutnya, tindakan undang-undang akan diteruskan sekiranya pihak berkenaan gagal memberikan maklum balas dalam tempoh 14 hari.
“Kalau tiada jawapan, saya akan teruskan saman sehingga ke penghujung,” katanya.
Laporan berkenaan mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham bernilai sekitar RM800,000 berdasarkan rekod pemfailan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Azam bagaimanapun menegaskan bahawa pemilikan saham tersebut dibuat secara sah dan mengikut prosedur ditetapkan.
Beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana siasatan, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan jika diperlukan.
Kontroversi ini tercetus selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, membangkitkan isu berkenaan dengan merujuk laporan media antarabangsa yang mempersoalkan integriti agensi antirasuah itu.










