Pemecatan Dalam Bersatu Buktikan Tiada Siapa Yang Kebal – Azmin

KUALA LUMPUR: Gelombang yang menggoncang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyaksikan 17 pemimpin kanannya dipecat serentak, termasuk bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin menunjukkan tiada siapa kebal daripada tindakan disiplin, walau setinggi mana jawatan disandang.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekaligus mempertahankan keputusan itu sebagai langkah berlandaskan perlembagaan parti.

Bagaimanapun menurut Azmin, semua yang terlibat termasuk bekas Hamzah masih mempunyai ruang untuk mencabar keputusan tersebut melalui proses rayuan dalaman.

Menurutnya, setiap individu diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada parti.

“Ini bukan tindakan tanpa ruang pembelaan. Kita ada mekanisme jelas dan proses yang perlu dihormati,” katanya selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), hari ini.

Azmin menjelaskan, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin bukan bersandarkan persepsi, sebaliknya hasil siasatan teratur berasaskan aduan bertulis serta bukti yang dikemukakan.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada mana-mana pemimpin yang kebal daripada tindakan tatatertib, walau setinggi mana jawatan yang disandang.

“Dalam Bersatu, semua tertakluk kepada peraturan yang sama,” tegasnya.

Mengulas kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, Azmin berkata perkara itu tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, kepimpinan parti kini meneliti implikasi keputusan pemecatan tersebut memandangkan Hamzah bukan lagi ahli parti.

“Keputusan rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Semalam, Hamzah menjadi antara 17 pemimpin yang dilucutkan keahlian oleh Lembaga Disiplin.

Notis rasmi mengenai keputusan itu telah dihantar kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas menerima aduan berkaitan dakwaan pelanggaran perlembagaan dan Kod Etika Tatakelakuan parti.

Dalam perkembangan sama, Azmin memaklumkan Mesyuarat Khas MPT turut memberi tumpuan kepada usaha memperkemas struktur organisasi serta memastikan gerak kerja parti di peringkat bahagian terus berjalan lancar.

Menurutnya, pelbagai pandangan dan cadangan diterima bagi memastikan kestabilan dalaman parti kekal terpelihara.

“Kita mahu parti terus bergerak secara tersusun dan berdisiplin. Kekuatan di akar umbi akan terus diperkasa,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kemungkinan rombakan kepimpinan, sambil menegaskan semua keputusan akan dibuat berpandukan lunas perlembagaan parti.

BBerkaitan

Latest articles