Dakwaan Pemilikan Saham: Azam Baki Saman Bloomberg RM100 Juta

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memfailkan tindakan undang-undang terhadap agensi berita antarabangsa Bloomberg dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta susulan laporan yang mendakwa beliau memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat kewangan.

Firma guaman yang mewakilinya, Zain Megat & Murad, memaklumkan bahawa semua saluran perundangan akan digunakan bagi menangani laporan tersebut yang didakwa berunsur fitnah, selain telah diterbit dan diulang siar oleh beberapa media lain sehingga menimbulkan penyebaran meluas.

Menurut firma itu, artikel berkenaan mengandungi dakwaan dan sindiran yang bersifat mengelirukan serta tidak bertanggungjawab, sekali gus mencalarkan reputasi peribadi Azam dan integriti institusi yang diterajuinya.

Mereka menegaskan Azam tidak melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan perkhidmatan awam berhubung perkara tersebut.

Sepanjang tempoh berkaitan, beliau didakwa telah mematuhi sepenuhnya kewajipan pengisytiharan aset termasuk melalui saluran rasmi seperti Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia.

Firma berkenaan turut menjelaskan saham yang dirujuk dalam laporan itu telah pun dilupuskan sebelum artikel diterbitkan dan perkara itu boleh disahkan melalui rekod serta dokumen pengisytiharan sedia ada.

Seorang lagi peguamnya, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, mengesahkan surat tuntutan telah dihantar ke ibu pejabat Bloomberg di New York dan Kuala Lumpur, namun enggan memperincikan kandungannya.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7 peratus pegangan berdasarkan penyata tahunan syarikat bertarikh 3 Februari tahun lalu.

Nama beliau turut didakwa masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Isu itu turut dikaitkan dengan pekeliling kerajaan 2024 yang membenarkan penjawat awam memiliki saham syarikat tempatan dengan had maksimum lima peratus modal berbayar atau nilai pasaran RM100,000, mana-mana yang lebih rendah.

Semalam, Azam menegaskan beliau tidak memiliki sebarang saham ketika ini dan akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasinya.

BBerkaitan

Latest articles