Cikgu Chandra Ditahan Susulan Status Facebook Cetus Kontroversi

KUALA LUMPUR: Tindakan memuat naik hantaran berunsur sensitif di media sosial membawa padah apabila seorang lelaki dikenali sebagai Cikgu Chandra ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, suspek diberkas kira-kira jam 3 petang dan sebuah telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan.

Penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang lelaki selepas melihat satu hantaran Facebook dimuat naik oleh akaun menggunakan nama Cikgu Chandra sekitar jam 10 malam, kelmarin.

Menurut Fadil, kandungan hantaran berkenaan didakwa menyentuh isu sensitif termasuk kenyataan menghina komuniti India serta menyentuh isu kuil yang dikaitkan sebagai tidak sah.

Kandungan itu disifatkan berunsur hasutan, menghina dan berpotensi menimbulkan ketegangan awam.

“Ia boleh mencetuskan tindakan di luar batas undang-undang serta mengganggu ketenteraman masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan awal, suspek mengakui memuat naik kenyataan tersebut kerana tidak berpuas hati selain mahu menarik perhatian pengikut di media sosial.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, Fadil mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik kenyataan yang menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menggugat keamanan negara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengeksploitasi sentimen sensitif demi meraih populariti atau sokongan,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles