PORT KLANG, – Eksesais MANTIS Siri 12/2026 yang melibatkan kerjasama bilateral antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan The Canadian Special Operations Forces Command (CANSOFCOM) berjaya memperkukuh keupayaan operasi bersama, khususnya dalam menangani ancaman keganasan dalam persekitaran bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE).
Panglima 4 Divisyen Infantri Malaysia, Mej Jen Hj Mohd Shauari Hj Mat Piah berkata latihan bilateral yang dilaksanakan sejak 2015 itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia–Kanada serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan moden.
Menurut beliau, latihan selama lima minggu itu merangkumi pelbagai elemen pasukan khas termasuk Grup Gerak Khas (GGK), PASKAU, CBRNE, Counter Improvised Explosive Device (CIED), perubatan serta geospatial, di samping integrasi operasi antara perkhidmatan.
“Latihan ini memberi pendedahan dan pengalaman yang tidak ternilai, sekali gus membantu meningkatkan keupayaan pasukan dalam menghadapi ancaman keselamatan asimetrik yang semakin kompleks,” katanya pada majlis penutup Latihan eks Mantis di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang, di sini hari ni.
Menurutnya latihan yang berlangsung dari 12 Januari hingga 13 Februari 2026 dengan penyertaan pegawai serta anggota dari kedua-dua negara itu dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Cross Training Exercise (CTX) serta Field Integration Training (FIT) di Kem Airstrip, Kem Terendak dan kawasan am Melaka, manakala fasa kedua melibatkan Field Training Exercise (FTX) di Port Klang Cruise Terminal, Selangor.
objektif utama eksesais ini adalah untuk memperkukuh perkongsian pengetahuan operasi lawan keganasan dalam persekitaran CBRNE, selain meningkatkan kemahiran dan kebolehoperasian dalam operasi gabungan antara perkhidmatan serta agensi.
Kolaborasi latihan itu turut melibatkan usaha tri-perkhidmatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia, selain kerjasama pelbagai agensi awam seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), STRIDE serta Hospital Selayang.
Sementara itu, Menurut Mohd Shauari lagi, konsep peperangan masa kini tidak lagi tertumpu kepada konflik konvensional semata-mata, sebaliknya memerlukan kesiapsiagaan menghadapi ancaman pengganas dan penggunaan agen CBRNE.
Majlis itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson, bersama delegasi kanan pertahanan Kanada yang menzahirkan sokongan terhadap kerjasama pertahanan dua hala, termasuk sumbangan peralatan bagi menyokong latihan tersebut.
Eks¬e¬sais MANTIS Siri 12/2026 disifatkan sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia–Kanada serta mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi cabaran keselamatan masa depan.










