Isu Pusat Pemuliharaan Anjing : Jangan Uji Undang-Undang, Jangan Peralat Masyarakat

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan semua pihak mematuhi saluran undang-undang yang sah dalam pelaksanaan sebarang projek, termasuk cadangan pembinaan pusat pemuliharaan anjing di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, terdapat dakwaan bahawa nama penduduk tempatan digunakan dalam usaha menggerakkan projek tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata apabila isu tindakan undang-undang dibangkitkan, pihak tertentu didakwa mengambil sikap berdiam diri dan tidak tampil memberikan penjelasan.

Menurutnya, sekiranya niat pelaksanaan projek itu benar-benar ikhlas, ia seharusnya dilakukan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Undang-undang bukan untuk dipermainkan. Semua pihak perlu bertanggungjawab atas tindakan masing-masing, terutama jika berlaku pelanggaran peraturan yang boleh membawa kepada hukuman,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan isu berkenaan.

Zaidy turut mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menggunakan komuniti Orang Asli sebagai “perisai” bagi melindungi agenda tertentu, selain menegaskan bahawa tindakan menjadi dalang di belakang tabir hanya akan menimbulkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau turut mempersoalkan siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya tindakan undang-undang diambil kelak, sambil menyuarakan kebimbangan bahawa pihak terlibat mungkin akan berdiam diri atau mengelak daripada memikul tanggungjawab.

Isu berkenaan kini mendapat perhatian masyarakat setempat dan dijangka terus dipantau oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang serta menjaga kepentingan komuniti tempatan.

BBerkaitan

Latest articles