KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung serta-merta tugas Tan Sri Azam Baki bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap tuduhan salah laku yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Menurut Rafizi, langkah penggantungan sementara adalah wajar bagi memastikan siasatan bebas dan telus dapat dilaksanakan, khususnya berkaitan dakwaan pemilikan saham bernilai ratusan ribu ringgit yang didakwa melanggar peraturan penjawat awam.
Beliau berkata, siasatan itu perlu merangkumi tiga aspek utama, iaitu dakwaan pemilikan saham melebihi RM100,000, semakan menyeluruh terhadap keseluruhan harta Azam Baki bagi menentukan sumber kewangan yang dimiliki, serta penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang urus niaga melibatkan MMAG Berhad dan NexG Berhad, khususnya yang berkaitan perolehan awam.
“Saya akan menunggu maklum balas Perdana Menteri sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada malam ini.
Rafizi mengulas laporan media antarabangsa Bloomberg yang mendedahkan pemilikan saham oleh Azam Baki yang didakwa secara jelas bercanggah dengan peraturan kerajaan berkaitan pegawai kanan perkhidmatan awam.
Beliau menegaskan isu berkenaan bukan sekadar persoalan pematuhan peraturan, sebaliknya menyentuh kewibawaan SPRM sebagai institusi utama pencegahan rasuah yang sentiasa berada di bawah pemerhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Laporan tersebut mendedahkan pemilikan sebanyak 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partners Berhad, yang dianggarkan bernilai sekitar RM800,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Menurut Rafizi, pemilikan itu jelas melanggar peruntukan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, yang mengehadkan pemilikan saham oleh penjawat awam kanan.
Tambahnya, kontroversi berkenaan turut mengheret persoalan lebih besar membabitkan beberapa urus niaga saham yang didakwa mempunyai kaitan dengan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.
Beliau berkata, rekod menunjukkan pada 29 Mac 2025, Farhash muncul sebagai pemegang saham terbesar MMAG Holdings Berhad melalui pembelian 462 juta saham bernilai RM184.8 juta.
Transaksi itu berlaku sehari selepas NexG Berhad, yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Berhad, menjadi pemegang saham utama MMAG melalui pembelian 173 juta saham atau 7.58 peratus pegangan, melibatkan nilai RM70 juta.
“Perkembangan ini menjadikan NexG Berhad dan Farhash sebagai pemegang saham utama MMAG, sekali gus mewujudkan pertalian perniagaan tidak langsung antara kedua-dua pihak melalui MMAG Holdings Berhad,” katanya.
Menurut Rafizi, keseluruhan rangkaian urus niaga tersebut menuntut siasatan menyeluruh dan segera demi memastikan tiada konflik kepentingan atau penyalahgunaan kedudukan berlaku, terutama apabila ia membabitkan tokoh penting dalam institusi antirasuah negara.










