KUALA LUMPUR: Kerangka perundangan sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) disifatkan sudah memadai dan berkesan dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun menegaskan, kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa terbuka untuk meneliti sebarang cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak pada masa akan datang.
Menurut beliau, berdasarkan maklum balas serta input daripada SPRM, peruntukan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM memberi kuasa mencukupi kepada suruhanjaya itu untuk mewajibkan mana-mana individu mengemukakan maklumat berkaitan harta yang dimiliki atau yang mempunyai kepentingan secara sah atau ekuiti.
“Peruntukan tersebut turut menghendaki individu terbabit menyatakan tarikh perolehan setiap harta dikenal pasti serta kaedah harta itu diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong, pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.










