Wan Fayhsal: Jika Mahu Pecat Hamzah, Bertindak Segera Jangan Berdrama

KUALA LUMPUR: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali memanas apabila Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal secara terbuka mencabar kepimpinan parti itu supaya membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tanpa terus bermain persepsi di ruang awam.

Wan Ahmad Fayhsal, yang kini digantung keahlian Bersatu selama satu penggal, menegaskan kepimpinan tertinggi parti tidak perlu lagi berlarutan mencetuskan polemik melalui media sekiranya benar-benar berhasrat mengambil tindakan terhadap Hamzah.

Beliau sebaliknya mendesak agar keputusan dibuat secara berterus terang dan tegas, sambil menyifatkan tindakan menunggu terlalu lama sebagai tidak mencerminkan ketegasan kepimpinan.

Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Wan Ahmad Fayhsal meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang disifatkannya sebagai kelewatan kepimpinan Bersatu membuat keputusan, selain mengkritik tindakan yang dianggap berselindung dan tidak berani berterus terang.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh soal prinsip perjuangan parti, dengan mendakwa tindakan dan pendirian yang diambil adalah demi mempertahankan rukun perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA) dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Wan Ahmad Fayhsal turut mengkritik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan mendakwa beliau kini hanya dikelilingi individu tertentu yang dianggap sebagai ‘kaki ampu’, selain mempersoalkan hala tuju dan maruah parti.

Sementara itu, spekulasi mengenai kemungkinan Hamzah Zainudin dikenakan tindakan disiplin semakin bertiup kencang apabila dikatakan wujud gerakan dalaman parti yang mendesak tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen Larut itu susulan dakwaan tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi Bersatu.

Malah, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang dilaporkan dijadual menghadap Lembaga Disiplin Bersatu pada Khamis ini, sekali gus menguatkan lagi andaian bahawa keputusan penting bakal dibuat dalam masa terdekat berhubung kedudukannya dalam parti.

BBerkaitan

Latest articles