Tidak Sah Bina Kuil Di Atas Tanah Diceroboh – Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembinaan rumah ibadat yang melanggar undang-undang, apatah lagi jika melibatkan pencerobohan atau rampasan tanah milik pihak lain, tanpa mengira agama atau kepercayaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap pembinaan rumah ibadat wajib mematuhi peraturan yang sah dan tidak boleh didirikan di atas tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

Menurut beliau, tindakan merampas atau mengambil tanah secara paksa untuk tujuan mendirikan premis ibadat merupakan satu kesalahan yang jelas dari sudut undang-undang dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Apakah wajar kita memberi kelonggaran kepada kuil atau mana-mana rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan? Jawapannya tidak. Kita terikat dengan jalur hukum. Semua boleh dibina jika ikut peraturan yang sah,” katanya.

Beliau menegaskan, tanah milik persendirian tidak boleh dirampas sesuka hati dengan alasan untuk tujuan ibadat, malah pembinaan di atas tanah yang diperoleh secara tidak sah tidak boleh diiktiraf atau disahkan.

“Tanah yang diambil secara paksa tanpa kebenaran dan kemudiannya mahu dijadikan sah, itu tidak boleh. Keputusan kita jelas, ia tidak sah,” tegas beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Damar Sari, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Mengulas polemik penggunaan istilah, beliau menegaskan masyarakat tidak wajar terperangkap dalam perdebatan sama ada perlu menggunakan istilah ‘kuil haram’ atau ‘kuil tanpa kebenaran tuan tanah’, kerana kedua-duanya merujuk kepada situasi yang sama iaitu pembinaan yang tidak mematuhi peraturan.

“Jangan kita bergaduh soal istilah. Yang penting, ia tidak mengikut peraturan. Masjid ikut peraturan, gereja ikut peraturan, semua rumah ibadat mesti ikut peraturan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar mengutamakan penyelesaian melalui saluran undang-undang dan bukannya mencetuskan pertelingkahan, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan sedia ada.

BBerkaitan

Latest articles