PUTRAJAYA: Ketika polemik penggunaan lafaz “Alhamdulillah” dan “syukur” oleh bukan Islam terus diperdebatkan, kerajaan menegaskan bahawa sebarang pandangan berkaitan isu sensitif itu tidak boleh ditentukan secara bebas atau mengikut tafsiran peribadi, sebaliknya wajib dirujuk kepada pihak berkuasa agama yang sah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan berpandukan sepenuhnya pandangan Jabatan Mufti yang berasaskan al-Quran, sunah serta pandangan ulama muktabar dalam menangani perkara melibatkan akidah dan keharmonian masyarakat.
“Kita merujuk kepada pihak autoriti yang arif dan berkelayakan. Pandangan Jabatan Mufti menjadi rujukan utama kerajaan dalam isu seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program MAIWP Run 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Beliau mengulas isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkaitan penggunaan lafaz “Alhamdulillah” dan “syukur” dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini.
Menurut Zulkifli, suasana semasa menyaksikan terlalu ramai pihak tampil mengemukakan pandangan sehingga mencetuskan kekeliruan awam, sedangkan perkara berkaitan agama Islam seharusnya ditangani secara berhikmah dan berpandukan autoriti sah.
“Sekarang ini terlalu ramai yang bercakap dan memberi pandangan. Hakikatnya, kita ada autoriti. Jadi, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak autoriti,” tegasnya.
Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil dilaporkan menjelaskan bahawa penggunaan lafaz yang sinonim dengan umat Islam seperti “Alhamdulillah” oleh bukan Islam adalah diharuskan selagi tidak disertai unsur penghinaan atau mempermainkan agama.
Menurut beliau, isu tersebut tidak wajar difokuskan kepada individu atau kelompok tertentu semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks perbahasan dan pandangan ulama secara menyeluruh.
“Bukan umat Islam menyebut ‘Alhamdulillah’ tanpa unsur penghinaan atau mempermainkan agama adalah perkara yang diharuskan kerana ia membawa kebaikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan bahawa pandangan Jabatan Mufti dibuat secara adil, seimbang dan tidak berat sebelah demi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.
“Jabatan Mufti melihat isu ini daripada sudut paling wajar dan terbaik demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.










