KUALA LUMPUR: Isu kuil Hindu yang masih belum berdaftar dan bermasalah dari segi dokumentasi tanah wajar ditangani secara menyeluruh melalui penubuhan satu Jawatankuasa Khas di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Malaysia Hindhudharma Maamandram bersama badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan kuil Hindu di negara ini.
Presidennya, Rishikumar Vadivelu, berkata cadangan itu bertujuan memperkemas proses pendaftaran kuil yang belum lengkap dari aspek hak milik tanah, lesen operasi serta pematuhan kepada Akta Pendaftaran Bangunan dan Tanah.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut menyasarkan penyelesaian pendaftaran sekurang-kurangnya 80 peratus kuil tidak berdaftar dalam tempoh 24 bulan selepas penubuhannya.
Beliau menjelaskan, antara peranan utama jawatankuasa berkenaan termasuk mewujudkan pangkalan data digital bersepadu yang boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan, selain menyediakan skim pembiayaan seperti geran, pinjaman mikro atau sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menampung kos pendaftaran dan pemuliharaan kuil.
Selain itu, jawatankuasa khas dicadang menganjurkan bengkel serta sesi kaunseling kepada pihak pengurusan kuil bagi memberi kefahaman mengenai prosedur pendaftaran dan keperluan undang-undang.
Laporan kemajuan pula akan dibentangkan secara suku tahunan kepada Perdana Menteri serta Parlimen bagi menilai keberkesanan langkah yang diambil.
“Sehubungan itu, kami dengan penuh hormat memohon YAB Perdana Menteri mempertimbangkan penubuhan Jawatankuasa Khas ini dan mengarahkan kementerian serta jabatan berkaitan memberikan sokongan logistik, kewangan dan sumber manusia yang diperlukan,” katanya dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri.
Rishikumar turut memaklumkan, Maamandram bersama Malaysia Hindu Sangam serta gabungan NGO dan kuil Hindu bersedia menyumbang kepakaran dalam rundingan dengan Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Pendaftaran Tanah, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan serta unit teknikal berkaitan.
Mereka juga komited menyediakan latihan kepada pengurusan kuil melibatkan dokumentasi hak milik dan pematuhan undang-undang.
Menurut cadangan itu, jawatankuasa khas berkenaan akan dipengerusikan oleh wakil JPM bagi memastikan hala tuju strategik dan pemantauan berkesan, selain dianggotai wakil NGO, persatuan kuil, pegawai tanah, pegawai kewangan daripada Kementerian Kewangan atau LHDN, pakar warisan Jabatan Warisan Negara serta penasihat undang-undang.
“Harapan kami agar kerjasama bersepadu ini mampu memastikan semua kuil Hindu di Malaysia memperoleh status pendaftaran yang sah, sekali gus mengukuhkan perpaduan serta keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini,” katanya.










