KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bersedia memasukkan barangan basah dalam senarai pembelian di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), namun membuka ruang kepada pengenalan makanan sejuk beku sebagai alternatif bagi memenuhi keperluan protein golongan memerlukan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, barangan basah masih dalam peringkat kajian berikutan isu kawalan kualiti dan keselamatan makanan yang perlu diberi perhatian serius.
“Untuk barangan basah, kita masih meneliti pelbagai aspek bagi memastikan kualiti dan keselamatan terjamin. Namun, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu dalam SARA,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya diluluskan, ayam jenis sejuk beku antara produk yang berpotensi dimasukkan, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Amir berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat, yang mencadangkan penambahbaikan kategori barangan SARA agar tidak terhad kepada barangan kering semata-mata.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan rangkaian rakan niaga SARA menunjukkan peningkatan ketara, daripada hanya 700 kedai tahun lalu kepada 10,700 premis di seluruh negara setakat 3 Februari lalu.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah peniaga kecil. Sasaran kerajaan adalah untuk meningkatkan penyertaan peniaga kecil kepada 10,000 bagi memastikan bantuan lebih mudah diakses,” katanya.
Langkah itu, jelas Amir, mampu mengurangkan jarak perjalanan penerima bantuan ke kedai runcit terdekat daripada sekitar 10 kilometer kepada purata tujuh kilometer sahaja.
Mengulas penggunaan MyKad sebagai medium penebusan SARA, beliau berkata sistem berkenaan memberi kelebihan tambahan kepada penerima melalui tawaran berpakej hasil rundingan kerajaan bersama peruncit.
“Sebagai contoh, pembelian menggunakan MyKad mungkin membolehkan penerima mendapat lebih banyak barangan atau diskaun khas, berbeza dengan bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tidak melibatkan tawaran tambahan daripada peniaga,” katanya.
Sebelum ini, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan memasukkan barangan basah seperti ayam, daging dan ikan dalam senarai SARA kerana ia merupakan keperluan asas rakyat.
Pada 24 Januari lalu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim turut dilaporkan berkata barangan basah sedang diteliti untuk dimasukkan dalam senarai pembelian SARA yang dijangka dikemas kini sebelum Ramadan.
Setakat ini, sebanyak 14 kategori barangan diluluskan di bawah SARA, termasuk beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perisa, produk kebersihan, ubat-ubatan, barangan persekolahan serta keperluan kebersihan rumah.










