Anwar: Pelajar IPTS Cemerlang Berpotensi Dikecualikan Bayaran PTPTN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi bayangan jelas untuk memperluaskan akses pendidikan percuma apabila bersedia mempertimbangkan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mencapai keputusan akademik cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari dengan prinsip kerajaan bahawa pendidikan seharusnya ditawarkan pada kos serendah mungkin, khususnya kepada pelajar yang benar-benar memerlukan sokongan kewangan tanpa mengira latar belakang institusi pengajian.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan dasar berkenaan perlu dilakukan secara berperingkat memandangkan PTPTN ketika ini menanggung komitmen kewangan yang besar, mencecah kira-kira RM10 bilion.

Menurut Anwar, setakat ini pendidikan percuma hanya dapat diberikan kepada sekitar 10,000 pelajar daripada golongan miskin tegar yang memenuhi kriteria ditetapkan, namun kerajaan sedang meneliti mekanisme bagi memperluaskan bantuan tersebut.

“Saya juga telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan meningkatkan sokongan kepada pelajar miskin. Pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pelajar cemerlang boleh dipertimbangkan, tetapi kita perlu selesaikan kekangan kewangan sedia ada secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar, Xiao Xuan, pada program Temu Anwar Bersama Pelajar di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), semalam.

Pelajar berkenaan membangkitkan persoalan sama ada kerajaan bersedia memberi pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pelajar cemerlang termasuk dari IPTS, memandangkan tidak semua mahasiswa institusi swasta datang daripada keluarga berkemampuan.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan usaha memperkukuh pembiayaan pendidikan turut berkait rapat dengan komitmen Kerajaan Madani membanteras rasuah dan ketirisan dana awam.

Beliau mendedahkan kerajaan berjaya mendapatkan semula kira-kira RM15.5 bilion dana yang diseleweng pada tahun lalu, yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat termasuk sektor pendidikan dan kesihatan.

Pada majlis sama, Anwar turut menyerahkan replika cek geran kerajaan berjumlah RM40 juta kepada TAR UMT yang diterima pengurusan universiti termasuk Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TAR UMT, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau juga mengumumkan lanjutan pengecualian cukai selama 10 tahun kepada Yayasan Pendidikan TARC, selepas tempoh pengecualian sedia ada berakhir pada Disember lalu.

BBerkaitan

Latest articles