Pemuda UMNO Tolak Pilihan Raya Datuk Bandar KL

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk melaksanakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur mengundang bantahan keras daripada Pemuda UMNO yang menyifatkannya sebagai satu agenda yang wajar ditolak sejak awal.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pergerakan sayap itu akan berusaha menggagalkan rancangan berkenaan sebagaimana mereka pernah menentang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.

Menurut beliau, pola cadangan yang dibawa kerajaan dilihat berulang dan menuntut pendirian tegas daripada UMNO agar tidak terleka.

“Sebelum ini URA (PSB), kemudian pilihan raya PBT dan kini muncul pula cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur. Seperti mana kita menolak usaha terdahulu, begitulah juga pendirian kita kali ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan memaklumkan bahawa kajian sedang dijalankan bagi meneliti pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara, termasuk kaedah pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Kajian tersebut, menurut laporan, telah bermula sejak Disember lalu susulan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 yang bertujuan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi memperkukuh reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.

Isu pilihan raya peringkat bandar raya bukan perkara baharu apabila pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah mendesak kerajaan mengembalikan semula pemilihan secara demokratik di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengingatkan ahli UMNO agar tidak leka atau berpecah akibat perebutan kuasa dalaman, sebaliknya kekal fokus terhadap agenda yang dianggap mencabar kepentingan parti.

“Mereka kekal bersatu demi kuasa, sedangkan kita pula sibuk bertelagah sesama sendiri. Perjuangan mesti diperkasakan dan tidak boleh goyah. Sedarlah wahai saudara-saudaraku,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles