‘Saya Diarah Nafikan Kenyataan Polis’ – Saksi Dakwa Diganggu Ibu Zara Melalui WhatsApp

KOTA KINABALU: Seorang saksi tampil mendedahkan bahawa beliau didakwa diganggu ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menerusi aplikasi WhatsApp, termasuk diarahkan supaya menafikan kenyataan yang telah diberikan kepada pihak polis.

Saksi wanita berusia 42 tahun itu, yang juga ibu kepada salah seorang pelajar dikenali sebagai Pelajar A, memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa mesej-mesej berkenaan dihantar oleh ibu Zara, Noraidah Lamat, susulan siasatan polis terhadap kes kematian remaja tersebut.

Menurut saksi yang juga saksi ke-62 prosiding itu, Noraidah didakwa memarahinya kerana membenarkan anaknya menceritakan perkara sebenar kepada polis serta menggesanya supaya menarik balik kenyataan tersebut dan berhubung secara terus dengan pegawai penyiasat.

“Saya dimarahi kerana membenarkan Pelajar A bercakap jujur kepada polis. Saya juga diarahkan menafikan kenyataan itu dan diminta menghubungi pegawai penyiasat secara langsung,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, seperti dilaporkan Berita Harian.

Saksi itu turut mendakwa mesej WhatsApp berkenaan mengandungi pelbagai tuduhan serius, termasuk dakwaan kenyataan Pelajar A telah diputarbelitkan, wujud konspirasi antara polis dan pihak sekolah serta tuntutan agar kenyataan tersebut dinafikan secara terbuka.

Selain itu, Noraidah juga didakwa mempertikai ketulenan catatan diari Zara, termasuk penggunaan perkataan kesat yang kononnya ditulis oleh mangsa, serta mendakwa pemeriksaan forensik menunjukkan tulisan tangan dalam diari berkenaan bukan milik anaknya.

Lebih mengejutkan, saksi tersebut berkata ibu Zara turut menuduh pihak sekolah menanam bukti, mendakwa Pelajar A bertindak atas arahan sekolah, selain melarang pelajar terbabit daripada menziarahi kubur Zara.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pegawai penyiasat dan Ustaz Azhari. Satu laporan polis juga telah dibuat bagi memohon siasatan terhadap ibu Zara,” katanya.

Mengimbas detik awal insiden, saksi berkenaan berkata beliau pertama kali dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 16 Julai lalu kira-kira jam 8.39 pagi melalui WhatsApp daripada ibu kepada pelajar lain.

Katanya, beliau kemudian menghubungi Noraidah untuk bertanyakan keadaan serta menasihatkannya supaya kekal tenang dan berhati-hati ketika memandu dari Sipitang ke Kota Kinabalu.

“Saya terkejut tetapi kagum dengan ketenangannya. Suaranya tidak panik, walaupun sesekali kedengaran sedih. Dia tidak meraung,” katanya sambil menambah beliau menghubungi Noraidah hampir setiap jam kerana bimbang wanita itu memandu bersendirian dalam keadaan emosi yang tertekan.

Zara Qairina, 13, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya.

Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar sekitar jam 4 pagi.

Pada 20 Ogos 2025, lima pelajar termasuk Pelajar A, yang identitinya dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara.

Kes berkenaan masih dalam perbicaraan.

BBerkaitan

Latest articles