KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad tampil mempertahankan Presiden Bersatu itu dengan menegaskan dakwaan kononnya Muhyiddin berbohong mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) adalah tidak benar.
Menurut Marzuki, tuduhan tersebut didakwa digerakkan oleh kem yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai sebahagian usaha terancang dikenali sebagai gerakan “Muhyiddin Exit”.
“Seorang ketua bahagian yang menyokong Hamzah menuduh Muhyiddin tidak jujur, malah ada aduan disiplin dibuat terhadap beliau. Semua ini dilaporkan secara meluas dan jelas menunjukkan satu gerakan tersusun,” katanya dalam satu kenyataan.
Marzuki turut mendedahkan beliau hadir dalam pertemuan tertutup pada malam 16 Januari 2026 yang melibatkan Muhyiddin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi menyelesaikan kebuntuan pelantikan Pengerusi PN.
Katanya, pertemuan itu diadakan atas permintaan Pas dan bersetuju memperkasakan Majlis Presiden PN yang diketuai Muhyiddin, selain menubuhkan Majlis Eksekutif PN yang akan dipengerusikan calon dinamakan Pas.
“Dengan struktur baharu ini, jawatan Pengerusi PN menjadi tidak relevan dan akan dimansuhkan melalui pindaan perlembagaan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Marzuki mendakwa persetujuan tersebut diganggu apabila Jawatankuasa Teknikal tidak dipanggil bermesyuarat, sebaliknya notis Mesyuarat Luar Biasa PN dikeluarkan dengan agenda bercanggah.
“Ini tindakan berniat jahat. Lebih buruk, Muhyiddin dihukum berbohong sedangkan proses perbincangan belum selesai,” katanya sambil mendakwa ada pihak sengaja mensabotaj persefahaman yang telah dicapai demi kepentingan politik tertentu.










