KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran melepaskan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara sukarela tanpa perlu melalui Perhimpunan Agung Khas (PAK), susulan kemelut dalaman yang melanda parti itu.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peruntukan tersebut jelas termaktub dalam Perlembagaan Bersatu.
Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, desakan segelintir penyokong supaya PAK diadakan bagi memecat Muhyiddin hanya akan memburukkan keadaan dan berisiko memecah-belahkan parti.
Katanya, langkah paling berhemah dan berperlembagaan adalah dengan peletakan jawatan secara sukarela demi kestabilan Bersatu.
Wan Saiful turut mengkritik sikap pihak yang mahu memaksa PAK diadakan, dengan mendakwa tindakan sedemikian menggambarkan ketaksuban terhadap kuasa berbanding kepentingan parti.
Beliau menegaskan, jika Muhyiddin benar-benar mengutamakan masa depan Bersatu, jalan harmoni perlu diambil tanpa mencetuskan konflik dalaman yang lebih besar.
Beliau berkata, peletakan jawatan secara sukarela akan membuka ruang kepada pemangku presiden untuk segera menyatukan parti, termasuk melakukan rombakan kepimpinan.
Antara langkah awal yang dicadangkan ialah menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz daripada jawatan masing-masing yang didakwa memberi kesan negatif kepada parti serta imej Muhyiddin sendiri.
Mengimbas sejarah lalu, Wan Saiful berkata Muhyiddin sendiri pernah menggesa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan Perdana Menteri tanpa perlu melalui perhimpunan khas.
Justeru, beliau menegaskan prinsip sama wajar digunakan kali ini dan menasihatkan agar tiada pihak mengubah pendirian dengan memaksa PAK sekiranya benar-benar mahu menyelamatkan parti.










