KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa berdepan tekanan berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk dari dalam parti sendiri, dengan matlamat jelas untuk menyingkirkannya daripada landskap politik negara.
Dakwaan itu dibangkitkan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Marzuki Mohamad, yang mendakwa wujud gerakan tersusun melibatkan pemimpin tertentu Bersatu serta sekutu politik dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Marzuki, jawatan Timbalan Presiden yang sepatutnya berperanan memperkukuh kepimpinan parti sebaliknya digunakan untuk melemahkan presiden melalui serangan bersifat dalaman, manakala pemimpin Pas pula didakwa mengeluarkan kenyataan keras termasuk sindiran agar Muhyiddin “berambus” daripada politik.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai ironi politik apabila rakan sekutu bertindak seperti musuh, dengan sindiran “kawan makan kawan” dilihat semakin jelas terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.
Marzuki turut mendakwa konflik dalaman Pas di Perlis menjadi antara punca keadaan semakin meruncing, walaupun kesannya akhirnya terpaksa ditanggung Muhyiddin.
“Muhyiddin bukan maksum. Beliau manusia biasa. Namun apabila diminta berundur, beliau menurut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas hubungan Bersatu dan Pas, Marzuki memetik usaha pemimpin Pas mendapatkan sokongan Muhyiddin termasuk pertemuan di London serta kunjungan Mursyidul Am Pas bersama rombongan kepimpinan parti itu ke kediaman Muhyiddin baru-baru ini, namun perbincangan tersebut didakwa gagal mencapai kesepakatan.
Sebaliknya, kata Marzuki, Muhyiddin terus dipersalahkan, sebelum tekanan dalaman Bersatu pula memuncak dengan desakan supaya beliau melepaskan jawatan Presiden.
“Ramai yang sedang menunggu detik untuk bertepuk tangan menyaksikan ‘projek Muhyiddin Exit’ berjaya,” katanya.
Menurut beliau lagi, Pas dipercayai melihat penyelesaian masalah PN hanya akan tercapai sekiranya Muhyiddin berundur, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan Pengerusi PN yang baharu.
Marzuki juga mendakwa cadangan penubuhan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif PN bukan bertujuan memperkukuh gabungan itu, sebaliknya untuk mengehadkan pengaruh Muhyiddin.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kedudukan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang didakwa lebih menumpukan usaha meningkatkan nilai politiknya di mata UMNO, sementara peluang menjadi calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dianggap tipis.
Marzuki meramalkan sekiranya Muhyiddin benar-benar berundur, Bersatu berisiko dibubarkan, dengan ahli-ahlinya diserap ke dalam UMNO, manakala Pas pula dijangka berdepan kekalahan besar pada PRU-16 dan akhirnya terpaksa kembali bekerjasama dengan UMNO.
Mengakhiri kenyataannya, Marzuki secara terbuka menasihati Muhyiddin supaya mempertimbangkan untuk berundur.
“Tiada gunanya memimpin kelompok yang menganggap anda sebagai liabiliti terbesar mereka. Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya,” katanya.










