PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam tidak akan memberi sebarang kelonggaran terhadap mana-mana penjawat awam, termasuk di peringkat tertinggi, yang didapati menyalahgunakan kuasa atau terbabit dalam rasuah.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan, tindakan tegas akan diambil sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu terbabit.
Menurut beliau, perkhidmatan awam komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil bagi memastikan prinsip keadilan terus terpelihara.
“Pendekatan ini penting agar hak semua pihak yang disiasat terus dihormati, di samping memastikan tiada unsur perlindungan atau kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Azri menegaskan, prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kelemahan tatakelola perlu dijunjung pada setiap masa selaras dengan ikrar Rukun Negara serta ikrar perkhidmatan awam.
Langkah itu, katanya, penting bagi melindungi imej dan kredibiliti perkhidmatan awam daripada tercalar akibat perbuatan tidak berintegriti yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi utama negara.
“Ia juga selari dengan penegasan Perdana Menteri agar institusi teras negara sentiasa dipelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan,” ujarnya.
Beliau menambah, nilai integriti akan terus menjadi tunjang utama dalam penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, sekali gus membantu mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara seiring aspirasi Kerajaan Madani.
Untuk rekod, beberapa bekas pegawai kanan dalam perkhidmatan awam, termasuk melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kini berdepan pertuduhan di mahkamah berhubung kes rasuah hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










