KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya mencadangkan agar siasatan kes serangan terhadap anaknya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sekiranya usaha penyiasatan berkenaan berlarutan tanpa sebarang hasil.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau akan menulis kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri serta pihak polis sekiranya mendapati siasatan berkenaan tidak menunjukkan kemajuan selepas tempoh munasabah.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, langkah tersebut dicadangkan bagi mengelakkan anggota polis yang sekadar melaksanakan arahan terus terikat dengan siasatan yang disifatkan tidak ke mana-mana.
Beliau turut menyindir kenyataan awal Perdana Menteri yang mahu siasatan dijalankan secara telus, sambil menyatakan jika selepas lebih enam bulan masih tiada perkembangan, adalah lebih baik siasatan ditamatkan demi menjaga maruah kepimpinan kerajaan.
Rafizi menegaskan beliau dan keluarganya menerima dengan hati terbuka insiden yang menimpa anaknya serta lebih memilih untuk berserah kepada doa agar kejadian sama tidak berulang kepada orang lain.
Katanya, beban mempertahankan kepercayaan rakyat bukan terletak pada mangsa, sebaliknya kepada pemegang jawatan dan pihak berautoriti yang suatu hari nanti perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Rafizi mendedahkan beliau tidak menerima sebarang maklum balas rasmi sejak kejadian tersebut berlaku pada Ogos lalu dan hanya mengetahui perkembangan siasatan menerusi laporan media.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan pernah bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen pada 1 Disember lalu, yang ketika itu berkongsi beberapa sudut siasatan secara tidak rasmi.
Beliau berkata, jawapan menteri berkenaan di Dewan Rakyat kemudiannya mengesahkan pertemuan itu, walaupun maklumat yang diberikan kekal bersifat pentadbiran bagi mengelak pendedahan sensitif yang boleh menjejaskan siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan anak Rafizi diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya apabila mangsa diheret dan disuntik dengan jarum suntikan ketika bersama keluarga pada Ogos tahun lalu.










