AMPANG JAYA: Tindakan sitaan paksa terhadap 14 harta alih dari sebuah kediaman di Ampang Jaya yang dikaitkan dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mencetuskan kontroversi apabila didakwa barangan tersebut bukan milik beliau.
Peguam Jamal, Nasser Yusof, menegaskan kesemua harta yang disenaraikan dalam notis sitaan bagi menyelesaikan tunggakan penghakiman berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sebenarnya adalah milik anak Jamal, Amin Daniel.
Menurut beliau, pihaknya akan memfailkan saman interpleader dalam masa terdekat bagi membuktikan bahawa harta-harta yang disita itu bukan milik Jamal, sekali gus tidak sepatutnya dirampas.
“Kesemua 14 item tersebut adalah milik anak Datuk Seri Jamal. Rumah itu juga merupakan rumah kelamin anak beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini.
Terdahulu, kehadiran bailif Mahkamah Tinggi bersama beberapa pihak lain ke kediaman tersebut pada Rabu mencetuskan perhatian apabila barangan berkenaan disita dan dijadualkan untuk dilupuskan melalui lelongan.
Sitaan itu dibuat bagi menuntut bayaran kos guaman yang masih belum dijelaskan oleh Jamal, 56, susulan kes saman fitnah melibatkan dakwaan terhadap Teresa Kok, 62, berkaitan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Dalam perkembangan sama, seorang lagi peguam Jamal, Rejinder Singh, mendakwa proses sitaan tersebut dilakukan dengan unsur penyalahgunaan kuasa dan melampaui batas.
Beliau mempersoalkan kehadiran anggota polis dalam pelaksanaan perintah mahkamah yang menurutnya hanya melibatkan tuntutan sivil, bukan kes jenayah.
“Perintah mahkamah memang membenarkan penggunaan anggota polis jika perlu, tetapi apa keperluan sebenar dalam kes ini? Kehadiran mereka dilihat seolah-olah bertujuan menakut-nakutkan pihak yang berada di dalam rumah,” katanya.
Rejinder turut memaklumkan pihaknya sedang meneliti sama ada kebenaran pihak berkuasa diperoleh sebelum polis dibawa masuk bagi melaksanakan sitaan tersebut.
Susulan itu, Jamal dan anaknya dijangka mengambil tindakan saman sivil di Mahkamah Tinggi terhadap pihak-pihak terlibat atas dakwaan salah guna kuasa serta tindakan yang melampaui skop perintah mahkamah.
“Kami akan failkan saman sivil terhadap mereka yang terlibat dalam pelaksanaan sitaan ini,” katanya.










