Pas Dedah Risiko Tindakan RoS Jika Jawatan Pengerusi PN Dihapus

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) boleh berdepan implikasi undang-undang termasuk tindakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sekiranya bertindak memansuhkan jawatan Pengerusi gabungan itu.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, kedudukan jawatan berkenaan telah diperuntukkan dalam Perlembagaan PN dan sebarang usaha mengubah struktur tersebut adalah bertentangan dengan peraturan sedia ada.

Menurut beliau, pendirian Pas kekal tegas agar struktur kepimpinan PN tidak diusik, selaras dengan kandungan surat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Jawatan itu tidak boleh dimansuhkan. Jika diubah, ia melanggar Perlembagaan dan boleh membuka ruang kepada tindakan pihak berkuasa, khususnya RoS,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Bersatu dan Pas kononnya mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan tersebut.

Muhyiddin sebelum ini turut mendakwa, cadangan itu melibatkan Bersatu menerajui Majlis Presiden PN manakala Pas mengetuai Jawatankuasa Eksekutif, sebagaimana dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 27 Januari lalu.

Namun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan Pas hanya bersetuju untuk memperkukuh peranan Majlis Presiden PN, bukan memansuhkan jawatan Pengerusi.

Takiyuddin turut memaklumkan bahawa PN tidak pernah mengesahkan persetujuan terhadap keseluruhan kandungan surat tersebut, khususnya melibatkan cadangan penubuhan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi.

Beliau menambah, pertemuan pimpinan Pas yang diketuai Abdul Hadi dengan Muhyiddin pada 16 Januari lalu juga tidak pernah membincangkan isu pemansuhan jawatan berkenaan.

“Jika cadangan itu dibangkitkan, Presiden Pas tidak akan bersetuju. Jawatan Pengerusi PN mesti kekal seperti termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Sebelum ini, dilaporkan ketua empat parti komponen PN dijadual mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin bagi membincangkan hala tuju gabungan, termasuk pengesahan peletakan jawatan beliau serta pelantikan kepimpinan baharu PN.

BBerkaitan

Latest articles